Pada 23 September lalu, saya
terbaca satu artikel yang bertajuk Suara Hati Tun Dr. Mahathir Mohamad di
Mingguan Malaysia. Ketika saya membacanya, remang bulu roma saya mendengar
cerita yang dilalui sendiri oleh Dr. Mahathir.
Waktu saya kecil, cerita seperti
ini sering diceritakan oleh opah saya yang melalui penjajahan British, Jepun
dan Bintang Tiga. Cerita yang sama juga diceritakan oleh ayahanda saya yang
juga Ketua Penerangan UMNO di waktu zaman Tuanku Abdul Rahman dan Tun Abdul
Razak.
Saya bertanya dengan opah mengapa
menceritakan ini semua kepada saya. Opah saya menjawab bahawa cerita ini
hendaklah diketahui oleh orang muda seperti saya yang lahir di zaman pasca
kemerdekaan. Cerita ini adalah pengajaran buat saya dan saya harus menceritakan
kepada anak-anak saya nanti.
"Peristiwa penjajahan ini
harus difahami oleh kamu supaya kamu tidak lupa bahawa orang sebangsa dengan
kamu iaitu orang Melayu pernah dijajah dan orang Melayu begitu hina sekali
dibuat oleh penjajah ini," kata opah.
Saya bertanya kepada opah:
"Apakah kaum lain seperti Cina dan India tidak dihina oleh penjajah
ini?" Opah menjawab: "Kamu mesti faham bahawa orang Cina pedagang dan
pekerja lombong-lombong besar. Mereka berniaga dengan siapa sahaja yang boleh
memberikan keuntungan kepada mereka. Sesiapa sahaja yang tidak menguntungkan,
mereka tidak akan mengendahkan, ini termasuklah orang Melayu."
Opah memberitahu saya lagi:
"Orang India adalah pekerja di estet-estet getah kepunyaan orang
Putih." Mereka ini bekerja dan bila ada duit banyak, mereka hantar ke
negara ibunda mereka. Ada juga yang bawa keluarga mereka ke Tanah Melayu untuk
bersama-sama bekerja dengan mereka." Daripada apa yang diceritakan oleh
opah saya, maka saya melihat bahawa mereka ini adalah survival society manakala
orang Melayu adalah deprived society.
Kebanyakan orang muda tidak suka
mendengar cerita yang dianggap sudah outdated atau too nostalgic. Orang muda
yang lahir pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an tidak merasa penting mengetahui
perkara-perkara ini.
Ibu bapa yang sibuk mencari
kemewahan dunia juga tidak peduli sama ada anak mereka ini tahu sejarah asal
usul negara atau keturunan bangsa sendiri. Ibu bapa Melayu lebih pentingkan
anak dapat berapa A dalam SPM, dapat masuk atau tidak ke universiti dan
sebagainya.
Akhirnya, kelompok generasi Y ini
mengetepikan soal bangsa Melayu, bangsa mereka sendiri yang pernah ditindas,
ditendang, disepak terajang, dimaki, diusir keluar, dan ada nada kurang ajar
menyuruh agar bangsa ini dihancurkan.
Orang Melayu muda tidak peduli.
Orang Melayu tua sudah tidak ambil peduli. Orang Melayu profesional sudah
berani mendabik dada mengatakan bahawa semua kejayaan mereka adalah atas usaha
mereka sendiri dan bukan datang daripada mana-mana dasar atau usaha kerajaan
atau parti politik yang membantu mereka.
Kata mereka: "I am here as a
CEO because I deserve it and I am good and I am here is not because of DEB or
any effort from the government." Inilah golongan orang Melayu yang sudah
lupa.
Ini bukan hanya berlaku dalam
kalangan orang muda profesional tetapi ia menular kepada pemimpin-pemimpin
Melayu. Tidak kisahlah dari parti mana dia datang tetapi semuanya bongkak dan
sombong apabila kuasa politik dikuasai mereka.
Ada yang sanggup mengangkat
pengkhianat negara sebagai pejuang kemerdekaan; ada yang sanggup menggadai
agama demi mahu memperolehi kuasa. Ada yang sanggup mengaut segala projek yang
ada demi kemewahan diri sendiri.
Bagi sesetengah daripada mereka,
melaungkan perpaduan Melayu adalah satu slogan bodoh atau usaha parti-parti
yang desperado. Mereka sudah tidak melihat lagi bahawa the survival of the
Malays di Tanah Melayu ini sebagai elemen penting. Mereka mahukan kuasa dan
kuasa menjadi matlamat utama mereka.
Dalam al-Quran, Surah Al-Baqarah
ayat 7, Allah berfirman dan maksudnya: "Allah telah mengunci hati dan
pendengaran mereka, penglihatan mereka tertutup, dan mereka akan mendapat azab
yang berat."
Dalam ayat ini, asbabunnuzulnya
menerangkan bahawa ia ditujukan kepada orang Yahudi di Madinah ketika itu,
tetapi jika kita perhatikan ayat ini, ia sedang berlaku dalam kalangan bangsa
Melayu.
Sifat Yahudi Madinah itu ada
dalam kalangan kita. Apa yang mencemaskan apabila Allah telah menutup segala
pancaindera serta hati, maka akan ada azab yang berat diturunkan oleh Allah
kepada kita kelak. Apakah azab yang bakal kita hadapi?
Adakah penjajahan semula terhadap
orang Melayu? Adakah orang Melayu akan menjadi bangsa kelas kedua di bumi
sendiri; menjadi kaum terhina yang mudah disepak terajang oleh orang yang
membenci bangsa Melayu?
Apakah ada pula azab 'misteri'
yang bakal dihadapi oleh bangsa Melayu akibat daripada kelalaian, ketamakan,
kerakusan dan kepentingan diri sendiri?
Benar kata-kata Dr. Mahathir
bahawa semua ini berlaku adalah kerana bangsa Melayu itu sendiri sudah tidak
bangga menjadi bangsa Melayu; sudah tidak lagi mahu tahu atau ambil peduli ke
atas sejarah bangsa sendiri. Sudah menjadi sebuah bangsa yang 'tidak kisah' dan
sekarang memperjuangkan hak asasi manusia (HAM).
Tidak salah untuk kita
mengetengahkan hak dan menuntut hak kita sebagai warganegara Malaysia. Tetapi
setiap hak ada peruntukan undang-undang dan setiap hak yang ada bukan bersifat
mutlak. Setiap hak yang ada mesti berlandaskan kepada perundangan tertinggi
negara iaitu Perlembagaan kerana dari situ bermulanya negara bangsa.
Ada orang Melayu sendiri
mempersoalkan Perlembagaan negara. Orang ini adalah bangsa Melayu yang sudah
tersedia pinggan mangkuk emas di atas meja; sudah terhidang makanan yang lazat-lazat
untuk mereka makan.
Tetapi mereka lupa bahawa makanan
yang dihidangkan itu bukan datang bergolek begitu saja. Ia datang daripada
jerih- perih pejuang-pejuang kemerdekaan yang lampau.
Keamanan dan kemakmuran yang
dikecapi kini bukan atas belas ihsan penjajah tetapi ia datang daripada usaha
dan kebijakan orang Melayu sehingga negara ditadbir mengikut acuan yang berasas
nilai-nilai agama dan adat budaya warisan bangsa negara ini.
Bila kita jumpa orang profesional
Melayu atau pun orang muda Melayu, cuba kita tanya siapakah Megat Iskandar
Shah? Sudah pasti hampir 90 peratus tidak tahu menjawabnya? Jika ditanya apakah
yang mahu dilakukan oleh Malayan Union ke atas Tanah Melayu? Sudah tentu juga
lebih 90 peratus tidak boleh menjawabnya. Kerana apa? Kerana hati mereka,
penglihatan mereka dan pendengaran mereka telah tertutup dan dikunci mati.
Apakah akibatnya. Akibatnya nanti
bangsa Melayu yang hebat seantero dunia ini akan menjadi bangsa yang akan
dipijak oleh kaum lain dan akan dimanipulasikan oleh mereka demi kuasa dan
pangkat dalam semua sektor dan bidang.
Kita hendaklah tahu bahawa bangsa
Melayu adalah bangsa yang hebat. Kalau tidak mana mungkin bangsa Melayu di
bawah Kesultanan Melayu Melaka mempunyai empayar yang cukup luar biasa.
Mana mungkin orang dari Portugal
dan Belanda mahu datang ke Melaka jika tidak mendapat khabar berita bahawa
terdapat bangsa Melayu yang hebat. Mana mungkin kerajaan China menghantar
kumpulan eksplorasi dan panglimanya ke Tanah Melayu untuk bersahabat dengan
Kesultanan Melayu Melaka. Ini adalah kehebatan Melayu.
Tetapi dalam kehebatan ini, ada
juak-juak yang dengki sebab tidak dapat apa-apa daripada yang memerintah. Ada
yang sudah ada jawatan dalam pemerintahan mahu lebih banyak kuasa sehingga ada
yang sanggup menjual maruah dan negara demi kepentingan diri yang dia sendiri
belum tahu mampu bertahan lama. Akhirnya bangsa yang gah di mata dunia, dijajah
dan dipijak-pijak.
Untuk peringatan kita bersama,
marilah kita menghayati dan memahami setiap bait ayat yang dinukilkan oleh Dr.
Mahathir tentang 'suara hatinya'. Benar bukan simpati yang diminta oleh Dr.
Mahathir tetapi beliau mahu kita mengimbau kembali kepayahan dan kesusahan
lampau dijadikan pedoman untuk terus maju ke hadapan.
Untuk bangsa Melayu Muda,
selamilah kata-kata Dr. Mahathir supaya ia menjadi azimat untuk menentukan
untung nasib bangsa Melayu di bumi Tanah Melayu ini.Untuk pemimpin Melayu,
cukup-cukuplah perbalahan sesama sendiri, marilah kita kembali bertaut untuk Islam,
Melayu dan Tanah Air tercinta ini. Buang yang keruh ambil yang jernih, baru
teguh peribadi.
Untuk bangsa Melayu yang tidak
ambil peduli, marilah kita bersama membina sebuah bangsa yang disegani dan
dihormati. Jaga akidah kita sebagai umat Islam, dan jaga bangsa kita sebagai
bangsa yang terhebat di Tanah Melayu ini.
Bak kata bait lagu lama:
"Nenek moyang kaya raya, Tergadai seluruh harta benda, Akibat sengketa
sesama kita, Cita lenyap di arus masa."
No comments:
Post a Comment